Monday, August 24, 2009

Datuk Panglima Besar

Kedudukan Datuk Panglima Besar ialah tongkat sokong dan seolah-olah menteri kepada Datuk Muda, di samping menjadi ketua waris dan tuan rumah. Tuan rumah di sini antara lain bermaksud apabila ibu dan bapa datang ke Linggi maka mereka harus menepati dan singgah dahulu di rumah Datuk Panglima Besar.

Sebagai ketua waris, adalah tanggungjawab beliau untuk mengurus dan memutuskan perkara-perkara kecil seperti mendamaikan pergaduhan dan menyelesaikan perselisihan kecil faham di kalangan waris. Segala keputusannya mesti disampaikan kepada Datuk Muda. Seandainya masalah itu tidak mampu diputuskannya, beliau harus membawanya kepada Datuk Muda untuk mencari penyelesaiannya.

Sebagai tongkat sokong dan Menteri Datuk Muda, Datuk Panglima Besar bertanggungjawab membantu Datuk Muda mengendalikan tugasnya. Tegasnya beliau ialah pembantu utama Datuk Muda. Datuk Muda pula, dalam apa juga perkara yang hendak dibuatnya haruslah berunding dahulu dengan Datuk Panglima Besar. Dengan demikian, dalam struktur kepimpinan Linggi, Datuk Panglima Besar itu kedua penting di bawah Datuk Muda.

Institusi Datuk Panglima Besar diwujudkan pada zaman pemerintahan Datuk Muda Mohamad Kattas (1820 - 1850). Waris pertama menyandang pusaka ini ialah Haji Abdul Jalal. Pada masa itu, Linggi sedang naik sebagai wilayah militari. Justeru itu, Datuk Muda Mohamad Kattas memerlukan sesorang pembantu untukmengendalikan tugas mentadbir negeri dengan lebih efisien.

Pada zaman awal pelantikan Datuk Panglima Besar adalah atas kebulatan melalui muafakat semua waris. Setelah mendapat kebulatan ia dibawa kepada Datuk Muda untuk disahkan. Jika para wairs tidak dapat kebulatan, pelantikan itu dipulangkan kepada Datuk Muda. Seperti juga institusi Datuk Muda, institusi Datuk Panglima Besar ini juga telah mengalami perubahan dalam cara pelantikkannya. Pada awal abad ke 20, pelantikan Datuk panglima Besar adalah berdasarkan perut dan bergilir. Kebulatan yang dicapai untuk pelantikan datuk ini mencukupi dengan kebulatan segala waris yang seperut sahaja.

Sumber : Norhalim Ibrahim (1998)

No comments:

Post a Comment