Monday, December 24, 2012

Pengumuman

Mulai dari hari ini, 23hb Disember 2012, blog Warisan Linggi telah bergabung dengan laman sesawang Nagari Nan Tuo. Saya akan menulis mengenai sejarah Linggi di http://www.nagarinantuo.com.

Penggabungan ini bertujuan untuk memudahkan pengumpulan bahan sejarah Negeri Sembilan. Di atas dasar inilah, saya sebagai pengendali blog ini bersetuju untuk menulis di laman Nagari Nan Tuo.

Semoga ia akan bermanfaat buat semua pihak.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan pembaca dan pengikut blog ini.

 

Friday, June 8, 2012

Kolokium Za'ba 2012

Baru-baru ini, pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Negeri Sembilan, Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah telah menganjurkan satu kolokium mengenai Za'ba di Auditorium JKKNNS. Kolokium ini dirasmikan oleh YAB Menteri Besar dan pembentangan kertas kerja oleh Prof Kol. Dato' Dr. Kamarudin Kachar, Prof Emeritus Dato' Dr. Asmah Omar dan Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah DBP.

Saya begitu bersemangat untuk mendengar kertas-kertas kerja yang dibentangkan oleh tokoh-tokoh yang telah berjaya di dalam bidang masing-masing. Namun, apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Hanya pembentangan Prof Emeritus Dato' Dr. Asmah Omar dan Dr. Awang Sariyan menepati tajuk yang disampaikan. Manakala pembentangan Prof. Kol Dr. Kamarudin Kachar lebih menceritakan mengenai dirinya. Bukan mengenai Za'ba. Kedatangan tetamu terutamanya para pelajar intitut pengajian tinggi untuk mendengar mengenai Za'ba. Bukan mengenai pembentang. Perkataan yang digunakan juga agak kasar. Tidak menggambarkan personaliti sebagai seorang penerima Anugerah Tokoh Budaya Negeri Sembilan. 

Perkara yang sama juga berlaku ketika beliau diminta untk menggulung keseluruhan pembentangan kertas kerja. Ramai yang tertanya-tanya apakah sebenarnya yang ingin beliau sampaikan. Adakah dengan hanya ingin menubuhkan UPSI Kampus Pendeta Za'ba atau Akademik Za'ba mampu melahirkan 1 juta Za'ba. Za'ba lahir dengan ilmu. Za'ba lahir dengan kasih sayang. Za'ba lahir dengan budi bahasa. Za'ba lahir dengan kegigihan. Za'ba lahir dengan keinginan sendiri untuk berjaya. Bukan dengan kata-kata yang kesat. Bukan dengan cakap besar. Bukan dengan cerita mengenai rumah tangga.

Sekiranya sebarang akademik atau pusat pengajian yang berkaitan dengan Za'ba, harus dibina di Linggi. Bukan di Rembau atau Kuala Pilah. Dahulu Linggi adalah pusat ilmu di Negeri Sembilan sebelum Linggi diketepikan. Bijak pandai Negeri Sembilan kebanyakannya bermula di Linggi. Ramai orang-orang Linggi yang berjaya dan menempa nama di dalam bidang masing-masing seperti Tan Sri Lokman Yusof, Tan Sri Dr. Mohamad Said, Tuan Haji Mohd Said Al-Linggi, Syeikh Ahmad bin Mohd Said dan ramai lagi. Semuanya bermula daripada Dato' Awaluddin (guru agama Penghulu Rembau), Juragan Abdul Rahman (peniaga yang berjaya sehingga ke Riau, Pontianak, Sumatera, Singapura dan Melaka), Dato' Muda Mohd Kattas (pemimpin dan peniaga yang kaya di mana kekayaannya melebihi daripada milik Penghulu Luak dan juga Yamtuan Seri Menanti dan amat ditakuti oleh Belanda dan Inggeris). Legasi ini diteruskan oleh Dato' Muda Mohd Salleh dan Dato' Muda Mohd Peral dan anak cucunya sehingga sekarang.

Apa jua keadaan, masyarakat Linggi harus bersatu agar usaha untuk menaikkan nama Linggi berjaya demi mengembalikan kegemilangan Linggi di dalam bidang ilmu.


Rakaman audio pembentangan Prof. Kol. Dr. Kamarudin Kachar untuk penilaian pembaca.



video
Sesi Pembentangan

video
Sesi Penggulungan

Monday, March 26, 2012

Prosiding




Bagi yang berminat untuk mendapatkan Prosiding Konvensyen Antarabangsa Diaspora Bugis anjuran KALAM UTM, sila layari laman web KALAM UTM untuk membuat pesanan.


ISI KANDUNGAN PROSIDING:


SEJARAH

  • SEJARAH BUGIS DI LINGGI, NEGERI SEMBILAN: Mohd Khairil Hisham bin Mohd Ashaari, Negeri Sembilan
  • KUMPULAN ETNIK BUGIS DI BORNEO UTARA: ANALISIS SEJARAH: Aripin Yuddin, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu
  • SEJARAH RINGKAS PENGLIBATAN ORANG BUGIS DI SEMENANJUNG TANAH MELAYU DAN PENEMPATAN TRADISIONAL MASYARAKAT BUGIS DI JOHOR: Haji Md Sah bin Haji Daeng Matatah , Persatuan Bugis Johor
  • SEJARAH KOTA DAN SENIBINA MASYARAKAT PEDAGANG BUGIS/MAKASSAR DI SINGAPURA, 1811-1940AN: Imran b Tajudeen, Universiti Kebangsaan Singapura
  • SEJARAH KOTA MAKASSAR DALAM PENGEMBANGAN MELAYU BUGIS: Andi Erham, PPI Universiti Teknologi Malaysia
  • KEPIMPINAN TRANSFORMASI DALAM PERSPEKTIF BUGIS: Sukwan Abdul Qadir,  PPI Universiti Teknologi Malaysia


BUDAYA

  • TARIAN BUGIS DI SELANGOR: Dr Haji Mohamed Lahir b Haji Maharam,  Mohamad Romaizi b Nordin, Persatuan Kesenian Maccahaya Citra Ugik Selangor
  • SURVIVAL BAHASA BUGIS DALAM ARUS GLOBALISASI: Saidah bt Ismail, Mohd Sofian b Abdul Latif, UiTM Shah Alam
  • PERAHU PINISI, WARISAN BUDAYA BUGIS-MAKASSA
    R DAN TANTANGANNYA: Rahimuddin, Universitas Hassanuddin Makassar/Universiti Teknologi Malays
  • POST MORDERN ARCHITECTURE: AN OPPURTUNITY TO SUSTAIN AND FIRM THE BUGIS CULTURE: A. Rudyanto Soesilo, Seogijapranata Catolic University, Semarang, Indonesia
  • FALSAFAH BUGIS-MAKASSAR DALAM PERSPEKTIF KEHIDUPAN MASYARAKAT MODEN: Syaharuddin, Universiti Teknologi Malaysia
  • KAJIAN HUBUNGAN KEKELUARGAAN DI DALAM PERKAHWINAN MASYARAKAT BUGIS PARIT KEROMA, PONTIAN, JOHOR: Bahtiar b Sukkor, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Johor
  • BOLA OGI (RUMAH BUGIS) DAN PANDUAN WAKTU BAIK DAN WAKTU BURUK : Shahrul Amin, Haji Md Sah bin Haji Daeng Matatah , Persatuan Bugis Johor
  • PERTAPAKAN  ORANG BUGIS DAN PELESTARIAN ADAT PERKAHWINAN DI NEGERI SABAH: Asmiaty bt Amat



SENIBINA
  • PENGEKALAN DAN PEMULIHARAAN SENIBINA RUMAH TRADISIONAL MELAYU BUGIS: KEPENTINGAN DAN CABARAN DI MASA HADAPAN: Mohd Asyraf, PM Dr Zainal Abidin Akasah (Universiti Tun Hussein Onn)
  • COMPARISON OF THERMAL COMFORT LEVELS FOR TWO TRADITIONAL BUGIS HOUSES IN MALAYSIA: Aminatuzuhariah, Mohd Zin Kandar, UTM Johor Bahru
  • A THERMAL CONFORT LEVELS FOR A TRADITIONAL BUGIS HOUSE IN JOHOR: Aminatuzuhariah Megat Abdullah, Malsiah Hamid, UTM Johor Bahru
  • CULTURAL INFLUENCE IN HOUSE FORM DESIGN OF BUGIS HOUSES: Wan Hashimah bt Wan Ismail, UTM Johor
  • APPLICATION OF TOPOPHILIA CONCEPTS IN ARCHITECTURE OF THE BUGIS HOUSE: Wasilah, Universitas Islam Alauddin, Makassar
  • COMPARISON BETWEEN BUGIS CONCEPTION OF THE HOUSE WITH SA’DAN TORAJA AND MALAY SOCIETIES: Zatur-Rawihah Omar, Syed Ahmad Iskandar Syed Ariffin,  UTM Johor Bahru
  • TIPOLOGI RUMAH BUGIS DI DAERAH PONTIAN: Raja Nafida bt Raja Shahminan, Gurupiah bt Mursib, Norazila Kamaruzaman, Fadhlina Ahmad, UTM Johor Bahru
  • DESIGN PRIINCPLE OF PASIVE FIRE PROTECTION TO CONTROL FIRE IN A BUGIS HOUSE: Raden Darmono, Semarang, Indonesis
  • BUGIS DESIGN, HOME AND BUGIS CULTURE: Bagoes Wiryomartono: UTM Johor Bahru

Tuesday, December 20, 2011

Perginya Seorang Waris Linggi

Muhammad Irfan ketika usia 5 bulan



Pada 16hb Disember 2011 (Jumaat) bersamaan 20 Muharam 1433H yang lalu, jam 7 pagi, telah kembalinya seorang waris Linggi ke rahmatullah pada usia 6 bulan.

Coretan rindu seorang bapa buat anaknya yang tersayang, http://nagarinansembilan.blogspot.com/2011/12/selamat-tinggal-sayang.html

Walaupun bapanya menyayanginya, namun Allah lebih sayang akan Allahyarham Muhammad Irfan.

Semoga rohnya berada di bawah rahmat Allah. Insya-Allah.

AL-FATIHAH.



Monday, December 12, 2011

Sejarah Linggi

Assalamu'alaikum para pembaca,

Satu kertas kerja mengenai Linggi telah dibentangkan sempena Konvensyen Antarabangsa Diaspora Bugis anjuran KALAM UTM pada 25hb November 2011 yang lalu di UTM, SKudai.


Tahniah buat pembentang kertas kerja kerana berani menonjolkan sejarah Linggi. Linggi semakin dilupakan dan dipinggirkan.

Monday, April 4, 2011

Kajian Mengenai Linggi

Assalamu'alaikum,
Terlebih dahulu, saya mohon maaf kepada pembaca blog ini kerana hampir 2 tahun ia tidak dikemaskini. Kekangan kerja dan waktu menyebabkan saya tidak sempat memasukkan maklumat terbaru mengenai Linggi. Namun begitu, saya masih lagi melayarinya bagi melihat pengunjung blog dan membaca komen-komen yang dihantar.

Saya difahamkan kini telah ada satu kumpulan yang sedang menjalankan kajian dan ingin menubuhkan galeri Linggi. Tahniah saya ucapkan di atas usaha tuan-tuan. Kita memang memerlukan ramai anak-anak Linggi yang mengkaji mengenai Linggi. Terus terang saya katakan bahawa saya tidak mampu melakukannya seorang. Saya menghabiskan masa dan wang selama 20 tahun hanya untuk mencari mengenai Linggi. Alhamdulillah, terlalu banyak maklumat telah saya kumpulkan. Jika ada kemampuan dan kesempatan saya akan keluarkan buku mengenai Linggi berdasarkan kajian saya.

Cuma saya mohon jasa baik kepada sesiapa yang melayari blog dan mengambil bahan dari blog, letakkan kredit. Bukan saya kedekut atau sombong, saya tidak kisah dan suka sekiranya bahan saya disebarkan. Tetapi sekurang-kurangnya ia menghargai segala usaha yang telah saya lakukan. Saya merasa kurang seronok apabila membaca facebook dan blog lain seolah-olah bahan tersebut bahan asal mereka.

Saya mohon maaf sekiranya ada yang terasa atau kecil hati dengan kenyataan saya.

P/S :
Nasib baik saya tidak masukkan hasil kajian saya di dalam blog ini. Kalau tidak, ia akan menjadi hasil kajian orang lain.

Thursday, October 15, 2009

Dato' Kanda

Menurut manuskrip Linggi, gelaran ini telah digunakan oleh Ali semasa Linggi mula-mula dibuka. Dato' Kanda Ali telah turut bersama-sama denga rombongan Lebai Dolman meneroka hutan untuk mendirikan perkampungan di Linggi. Oleh kerana manuskrip-manuskrip Linggi menyatakan bahawa ketika meneroka perkampungan Linggi, Ali telah menyandang jawatan sebagai Dato' Kanda. Ini menunjukkan bahawa gelaran ini telah dibawa daripada Kampung Penajis Bandar di Rembau (penempatan yang dibuka oleh Dato' Awaluddin dan Dato' Serilah bersama-sama pengikutnya) dan ini bererti gelaran ini telah wujud lebih awal daripada jawatan Penghulu Linggi dan Dato' Muda Linggi.

Menurut Imam Ambak (diceritakan oleh Mohd Ali Dahlan, cucu Imam Ambak), pada pemerintahan Lebai Dolman dan Jeragan Abdul Rahman sebagai Penghulu Linggi, Dato' Kanda merupakan seorang pembesar Linggi. Fungsi Dato' Kanda pada ketika itu adalah sebagai pembantu kepada Penghulu Linggi dalam mengendalikan urusan harian Kerajaan Linggi. Segala perkara yang hendak dibuat adalah hasil rundingan Penghulu Linggi dan Dato' Kanda serta waris-waris tua Linggi yang lain. Tugas Dato' Kanda pada ketika itu boleh disamakan dengan tugas Dato' Penglima Besar.

Selepas Dato' Kanda Ali meninggal dunia, manuskrip Linggi tidak lagi menyebut gelaran Dato' Kanda di mana tiada penyandang yang dilantik bagi menggantikan Dato' Kanda Ali. Ini menimbulkan persoalan sama ada gelaran Dato' Kanda merupakan gelaran peribadi bagi Dato' Kanda Ali atau gelaran anugerah yang diperolehinya di tempat lain, mungkin di Rembau. Sekiranya ianya benar maka setelah beliau meninggal dunia gelaran Dato' Kanda dibawa bersama. Gelaran ini tidak diwariskan kepada ahli waris Linggi yang lain sekiranya ia bukan gelaran yang dianugerahkan oleh pemimpin Linggi. Bagi menjawab persoalan ini, satu kajian terperinci harus dilakukan.

Pada tahun 1932, Dato' Muda Hassan telah mewujudkan semula gelaran Dato' Kanda. Fungsi Dato; Kanda adalah bertanggungjawab atas segala adat istiadat yang berhubungan dengan institusi Orang Besar Linggi di mana seorang pegawai Dato' Muda Linggi yang bertugas sebagai ketua adat istiadat di Balai Dato' Muda Linggi.

Dato' Muda Hassan telah melantik Zakaria bin Mohamad Said (Tok Ngah Kerani) sebagai Dato' Kanda. Setelah Tong Ngah Kerani meninggal dunia pada tahun 1937, Dato' Muda Syed Ahmad telah meneruskan pusaka ini dengan melantik Abdul Jalal sebagai Dato' Kanda. Pusaka ini tidak lagi diwariskan kepada sesiapa apabila Dato' Kanda Abdul Jalal meninggal dunia pada tahun 1945. Dato' Muda Mohamad Basri telah mewujudkan semula jawatan Dato' Kanda dengan melantik Mohd Ashaari Abd Samad sebagai Dato' Kanda yang baru.