Thursday, October 15, 2009

Dato' Kanda

Menurut manuskrip Linggi, gelaran ini telah digunakan oleh Ali semasa Linggi mula-mula dibuka. Dato' Kanda Ali telah turut bersama-sama denga rombongan Lebai Dolman meneroka hutan untuk mendirikan perkampungan di Linggi. Oleh kerana manuskrip-manuskrip Linggi menyatakan bahawa ketika meneroka perkampungan Linggi, Ali telah menyandang jawatan sebagai Dato' Kanda. Ini menunjukkan bahawa gelaran ini telah dibawa daripada Kampung Penajis Bandar di Rembau (penempatan yang dibuka oleh Dato' Awaluddin dan Dato' Serilah bersama-sama pengikutnya) dan ini bererti gelaran ini telah wujud lebih awal daripada jawatan Penghulu Linggi dan Dato' Muda Linggi.

Menurut Imam Ambak (diceritakan oleh Mohd Ali Dahlan, cucu Imam Ambak), pada pemerintahan Lebai Dolman dan Jeragan Abdul Rahman sebagai Penghulu Linggi, Dato' Kanda merupakan seorang pembesar Linggi. Fungsi Dato' Kanda pada ketika itu adalah sebagai pembantu kepada Penghulu Linggi dalam mengendalikan urusan harian Kerajaan Linggi. Segala perkara yang hendak dibuat adalah hasil rundingan Penghulu Linggi dan Dato' Kanda serta waris-waris tua Linggi yang lain. Tugas Dato' Kanda pada ketika itu boleh disamakan dengan tugas Dato' Penglima Besar.

Selepas Dato' Kanda Ali meninggal dunia, manuskrip Linggi tidak lagi menyebut gelaran Dato' Kanda di mana tiada penyandang yang dilantik bagi menggantikan Dato' Kanda Ali. Ini menimbulkan persoalan sama ada gelaran Dato' Kanda merupakan gelaran peribadi bagi Dato' Kanda Ali atau gelaran anugerah yang diperolehinya di tempat lain, mungkin di Rembau. Sekiranya ianya benar maka setelah beliau meninggal dunia gelaran Dato' Kanda dibawa bersama. Gelaran ini tidak diwariskan kepada ahli waris Linggi yang lain sekiranya ia bukan gelaran yang dianugerahkan oleh pemimpin Linggi. Bagi menjawab persoalan ini, satu kajian terperinci harus dilakukan.

Pada tahun 1932, Dato' Muda Hassan telah mewujudkan semula gelaran Dato' Kanda. Fungsi Dato; Kanda adalah bertanggungjawab atas segala adat istiadat yang berhubungan dengan institusi Orang Besar Linggi di mana seorang pegawai Dato' Muda Linggi yang bertugas sebagai ketua adat istiadat di Balai Dato' Muda Linggi.

Dato' Muda Hassan telah melantik Zakaria bin Mohamad Said (Tok Ngah Kerani) sebagai Dato' Kanda. Setelah Tong Ngah Kerani meninggal dunia pada tahun 1937, Dato' Muda Syed Ahmad telah meneruskan pusaka ini dengan melantik Abdul Jalal sebagai Dato' Kanda. Pusaka ini tidak lagi diwariskan kepada sesiapa apabila Dato' Kanda Abdul Jalal meninggal dunia pada tahun 1945. Dato' Muda Mohamad Basri telah mewujudkan semula jawatan Dato' Kanda dengan melantik Mohd Ashaari Abd Samad sebagai Dato' Kanda yang baru.

1 comment:

Majlis Ayahanda Negeri Sembilan said...

Assalamualaikum Tuan Halim, terima kasih, diatas paparan sejarah Datuk Muda Linggi, Inzin saya kongsi ... Terima kasih, dan jika sudi sila ambil no tel 0133087836 untuk berhubung dan saya ingin teruskan perjuangan menjejak kebawah duli tuanku...

Post a Comment