Wednesday, August 26, 2009

Datuk Panglima Perang

Di paras ketiga dalam hieraki kepimpinan Linggi dan di bawah Datuk Panglima Besar ialah Datuk Panglima Perang. Pusaka ini juga telah diwujudkan oleh Datuk Muda Mohamad Kattas iaitu pada masa yang lebih kurang sama dengan kejadian Datuk Panglima Besar. Oleh sebab Linggi pada masa itu merupakan satu wilayah militari, tujuan utama institusi Datuk Panglima Perang ini adalah untuk membantu Datuk Muda dalam urusan pertahanan Linggi.

Apabila Linggi tidak lagi bersifat ketenteraan, tugas datuk ini turut berubah. Pada masa aman, tugas datuk ialah melayan orang dan dia berkuasa untuk menengok dan menyelesaikan perkara-perkara kecil sahaja. Pendek kata, beliau adalah pembantu kepada Datuk Panglima Besar. Justeru itu, dari segi pentadbiran Linggi, Datuk Panglima Perang ialah tongkat sokong kepada Datuk Panglima Besar. Segala masalah yang tidak dapat diselesaikannya haruslah diserahkan kepada Datuk Panglima Besar bagi mendapatkan penyelesaian seterusnya.

Selain menjalankan tugas-tugas tersebut, Datuk Panglima Perang juga ditugaskan untuk mencari kebulatan segala waris tua di Linggi apabila hendak menegakkan Datuk Muda. Kemudian barulah diserahkan kebulatan itu kepada Datuk Panglima Besar untuk disampaikan kepada ibu dan bapa Linggi.

Pelantian mengisi pusaka Datuk Panglima Perang ini pada awalnya adalah berdasarkan maklumat dan kebulatan semua waris. Apabila waris-waris tidak mencari kebulatan barulah pelantikan itu menjadi hak mutlak Datuk Muda untuk memilihnya. Selepas tahun 1935, cara pelantikan datuk ini berubah, berdasarkan giliran mengikut perut. Namun semasa pemerintahan Datuk Muda Syed Ahmad, pelantikan Abdul Samad sebagai Datuk Panglima Perang pada 1 September 1943 tidak mengikut giliran perut. Abdul Samad merupakan anak pusaka (waris daripada lelaki) dan bukan anak waris (daripada keturunan waris perempuan.

Monday, August 24, 2009

Datuk Panglima Besar

Kedudukan Datuk Panglima Besar ialah tongkat sokong dan seolah-olah menteri kepada Datuk Muda, di samping menjadi ketua waris dan tuan rumah. Tuan rumah di sini antara lain bermaksud apabila ibu dan bapa datang ke Linggi maka mereka harus menepati dan singgah dahulu di rumah Datuk Panglima Besar.

Sebagai ketua waris, adalah tanggungjawab beliau untuk mengurus dan memutuskan perkara-perkara kecil seperti mendamaikan pergaduhan dan menyelesaikan perselisihan kecil faham di kalangan waris. Segala keputusannya mesti disampaikan kepada Datuk Muda. Seandainya masalah itu tidak mampu diputuskannya, beliau harus membawanya kepada Datuk Muda untuk mencari penyelesaiannya.

Sebagai tongkat sokong dan Menteri Datuk Muda, Datuk Panglima Besar bertanggungjawab membantu Datuk Muda mengendalikan tugasnya. Tegasnya beliau ialah pembantu utama Datuk Muda. Datuk Muda pula, dalam apa juga perkara yang hendak dibuatnya haruslah berunding dahulu dengan Datuk Panglima Besar. Dengan demikian, dalam struktur kepimpinan Linggi, Datuk Panglima Besar itu kedua penting di bawah Datuk Muda.

Institusi Datuk Panglima Besar diwujudkan pada zaman pemerintahan Datuk Muda Mohamad Kattas (1820 - 1850). Waris pertama menyandang pusaka ini ialah Haji Abdul Jalal. Pada masa itu, Linggi sedang naik sebagai wilayah militari. Justeru itu, Datuk Muda Mohamad Kattas memerlukan sesorang pembantu untukmengendalikan tugas mentadbir negeri dengan lebih efisien.

Pada zaman awal pelantikan Datuk Panglima Besar adalah atas kebulatan melalui muafakat semua waris. Setelah mendapat kebulatan ia dibawa kepada Datuk Muda untuk disahkan. Jika para wairs tidak dapat kebulatan, pelantikan itu dipulangkan kepada Datuk Muda. Seperti juga institusi Datuk Muda, institusi Datuk Panglima Besar ini juga telah mengalami perubahan dalam cara pelantikkannya. Pada awal abad ke 20, pelantikan Datuk panglima Besar adalah berdasarkan perut dan bergilir. Kebulatan yang dicapai untuk pelantikan datuk ini mencukupi dengan kebulatan segala waris yang seperut sahaja.

Sumber : Norhalim Ibrahim (1998)

Thursday, August 20, 2009

Perjalanan Balik Kampung

Hari ni Waris Linggi balik ke kampung...dah lama tak balik Linggi jumpa mak sedara. Seperti biasa, kedatangan Waris Linggi akan dialu-alukan dengan ungkapan yang menusuk kalbu seperti aku ingatkan kau dah mati...hidup lagi kau...nampak sangat lama tak balik hehehehe...

Masa sampai mak sedara sedang makan tengah hari...tapi Waris Linggi baru lepas makan di Kendong ngan rakan-rakan...cuma minum air sahaja dengan makan buah langsat.

Semasa makan, Waris Linggi berbincang dengan mak sedara mengenai hal2 keluarga dan juga mengenai Dato' Muda Linggi.

Bila dah penat berbincang, Waris Linggi pergi ke rumah pusaka kat sebelah rumah mak sedara.. nak ambil gambar....ingatkan nak masuk gak la tapi berkunci lak...dah banyak rosak rupanya rumah ini.




Kesilapan yang dilakukan oleh Dato' Muda Linggi apabila menebang pokok yang ditanam oleh moyang Waris Linggi. Waris Linggi tak pernah setuju dengan alasan pokok ini boleh membahayakan rumah. Pokok tu ada kat situ puluhan tahun, tak pernah sekali membahayakan penghuni rumah.


Waris Linggi cuba bertanya dengan mak sedara..siapakah adik beradik aruah atuk...tapi dia jawap "aku pun tak kenal"...sebab atuk Waris Linggi amat merahsiakan mengenai keluarganya...terlalu berahsia...pastu garang lak tu...tak de siapa tahu pasal keluarga atuk Waris Linggi...ada hint2 yg diberi tapi tak pastilah...

Selesai urusan di rumah mak sedara...teragak nak pergi ke Hulu...nak tgk rumah sedara2 yang dah lama tak pergi...rupa-rupanya rumah semua dah nak roboh..Waris Linggi terus ke Masjid Linggi...



Masjid Linggi yang dibina oleh Dato' Muda Linggi Mohd Peral


Beduk yang terdapat di Masjid Linggi

Meriam yang terletak di hadapan masjid dipercayai milik Dato' Muda Linggi Mohd Peral





Kawasan perkuburan Dato' Muda Linggi Mohd Peral dan keluarganya.

Makam Dato' Muda Linggi Dato' Mohd Peral

Kawasan perkuburan lama keluarga Waris Linggi

Makam Syeikh Jamaluddin Al-Linggi


Dipercayai Makam Dato' Muda Linggi Dato'Mohd Kattas


Perigi yang pernah digunakan untuk mengambil wuduk


Cuba lihat bentuk batu nesan....

Terdapat corak bunga


Kawasan perkuburan lama

Kawasan perkuburan baru Kg Linggi


Tetiba teringat surau batu yang juga dibina oleh moyang Waris Linggi. Masa kecil, ayah Waris Linggi pernah ceritakan kat surau tak boleh buat main-main...nanti kok kena angkat letak kat tepi perigi. Apa lagi pergi sekejap...gi ambik gambar.


Surau Batu


Kawasan perkuburan orang bersalah dan hamba.


Selesai mengambil gambar, Waris Linggi pun balik ke Seremban dalam jam 5 ptg.



Monday, August 17, 2009

Senarai Penyandang Penghulu Linggi dan Dato' Muda Linggi

Bil

Nama

Tahun

1

Lebai Dolman

(Penghulu Linggi)

1798 – 1803

2

Juragan Abdul Rahman

(Penghulu Linggi)

1803 – 1820

3

Dato'Muda Linggi Mohd Katas

1820 – 1849

4

Dato'Muda Linggi Haji Mohamad Salleh

1849 – 1870

5

Dato' Muda Linggi Mohd Peral

1870 – 1893

6

Dato' Muda Linggi Bustam

1893 – 1912

7

Dato' Muda Linggi Hasan bin Pok

1932 - 1936

8

Dato' Muda Linggi Syed Ahmad

1936 – 1959

9

Dato' Muda Linggi Haji Yahya bin Abu

1959 – 1974

10

Dato' Muda Linggi Abu Zaharin bin Haji Maulud

1976 – 1996

11

Dato' Muda Linggi Haji Mohd Basri bin Haji Omar

1996 - sekarang

Friday, August 14, 2009

Dimanakah Linggi...............

Linggi merupakan sebahagian wilayah yang berada di dalam Negeri Sembilan. Kewujudan Linggi bermula semenjak dari abad ke 15 di mana ianya bermula sebagai sebuah wilayah yang tiada mempunyai kuasa sehingga memainkan peranan di dalam sejarah Negeri Sembilan terutamanya dari segi ekonomi.



Sebahagian Mukim Linggi : Kampung-kampung dalam Wilayah Linggi Tradisional


Jika dilihat dari segi keluasan, Linggi hanya seluas lebih kurang 176.6 km persegi atau 17.7 hektar di mana ia bersempadan dengan Luak Rembau di sebelah Timur dan Luak Sungai Ujong di sebelah Utara. Sungguhpun Linggi boleh dianggap sebagai suatu entiti yang kecil, namunya ia memainkan peranan yang penting di dalam sejarah perkembangan dan pembentukan Negeri Sembilan moden.



Peta Lakar Eredia (1613) menunjukkan Melaka dan kawasan sekitarnya



Jika dibandingkan dengan wilayah-wilayah yang terdapat di Negeri Sembilan, Linggi boleh dikatakan unik. Ini adalah kerana Linggi merupakan satu-satuya wilayah yang tidak mengamalkan Adat Perpatih di mana penduduk Linggi adalah berketurunan Bugis. Sistem kemasyarakatan Linggi tidak mengamalkan sistem keturunan berdasarkan nasab ibu sebagaimana Adat Perpatih tetapi sistem yang menekankan kepada nasab bapa. Sistem ini dikenali sebagai muafakat bil kitab wassunati qabulatan minat ustaz ilamanati atau Adat Linggi atau Adat Muafakat dan Kebulatan.


Peta lakaran Eredia (1613) menunjukkan Linge (Linggi)


Sumber : Norhalim Ibrahim

Thursday, August 13, 2009

Syair Anak Bugis

Selesailah pekerjaan Opu Berlima
adik-beradik mendapat nama
sebab teguh mesyuarat utama
dengan segala saudara bersama

Serta berkasih-kasihan saudara-saudara
sama senang sama sengsara
kelima beradik tidak antara
tuah keuntungan datangnya segera

Kedua saudara sudahlah hilang
tinggal bertiga berhati walang
sungguh demikian masih terbilang
tiadalah cedera nama hulubalang

Sebab berkat muafakatnya tuan
pekerjaan disukai olehnya Tuhan
syariat agama dibuat haluan
itulah tanda raja bangsawan

Sungguhpun masing-masing kerajaannya
berjauh-jauhan antara negerinya
setia muafakat tiada diubahnya
jadilah berkat anak-cucunya

Turun-temurun menjadi raja
bukannya dengan perang dan kerja
bukan dibeli dengan belanja
nyatalah dengan berkatnya sahaja

Ayuhai segala anak cucunya
hendaklah ingatkan datuk neneknya
serta fikiran fiil lakunya
hendaklah ikut sebarang dapatnya

Fiil kebajikan peri-perikan
jalan perintahnya sidik-sidikkan
mengasihi orang ikut jalankan
memeliharakan saudara engkau teguhkan

Barangsiapa sungguh anak cucunya
hendaklah ikut tingkah lakunya
sama ada aib malunya
atau pada teguh setianya

Jika diperbuat demikian itu
sahlah kamu anak cucunya tentu
bolehlah disebut warga ratu
di negeri Bugis keturunan datu

Jikalau fiil tiada ketahuan
syarak dan adat kuat dilawan
tandanya bukan orang bangsawan
akhirnya dapat juga kemaluan

Lihatlah perangai nenek dan moyang
berkasih-kasihan malam dan siang
adik-beradik berkasih sayang
tiada berubah tiada bergoyang

Sebab antaranya sama sejati
tiada lekas berpendek hati
jadilah mulia dan sakti
daripada hidup sampai ke mati

Nama bertaburan segala benua
Bugis, Melayu, Minangkabau, jawa
hai anak cucunya jangan kecewa
bangkitlah olehmu nama yang tua-tua

Iaitu namanya yang indah-indah
hamba dan sahaya tiada bergundah
pada kerabat memberi faedah
nanti kemuliaan datangnya mudah

Adab dan bahasa hendaklah bawa
kepada kerabat muda dan tua
jangan mengikutkan nafsu dan hawa
dunia akhirat mendapat kecewa

Jangan berdengki-dengkian sama saudara
atau sahabat handai sama setara
jika diperbuat sangatlah cedera
bukanlah fiil opu bersaudara

Sementelaah dilarangkan olehnya syariat
sombong takbur dengki khianat
tamak dan bakhil kurang amanat
itulah perangai syaitan laknat

Hai anak cucu opu pegangla wasiat
Fatihahkan dia janganlah jemu
serta dengan kenduri dan jamu
barang yang hadir barang yang bertemu

Jangan engku malas ziarah kubrnya
tiap-tiap Jumaat atau bulannya
jika jauh akan tempatnya
setahun sekali jika mudahnya

Birad walidin di dalam dunia
jikalah mati ikutlah dia
amalmu tidak jadi sia-sia
demikian sabda Sayyidil Anbia

Sebagai lagi nasihat senda
kepada segala kakanda adinda
serta kepada anakanda cucu
salasilah ini hendaklah ada

Tiap-tiap orang menaruh sendiri
tidaklah hilang bangsanya sendiri
supaya tidak gaduh mencari
asal usul kita demikian peri

Akhir surat intiha al kalam
selawatkan Nabi Penghulu Islam
harapkan syafa'at siang dan malam
barang yang berlaku kertas dan kalam



Sumber : Salasilah Melayu dan Bugis Oleh Raja Ali Haji

P/S : Buat waris Linggi, bacalah dan hayati apa yang ingin disampaikan oleh penulis.

Selamat Datang

Selamat datang ke blog Wilayah Linggi Bergajah Tunggal. Blog ini diwujudkan bagi memartabatkan kedaulatan Wilayah Linggi yang sekian lama telah hilang. Banyak sejarah Linggi telah dilenyapkan oleh pihak-pihak yang tertentu. Linggi tempat lahirnya individu yang hebat seperti Sheikh Hj Muhammad Said Jamaluddin, Sheikh Abdullah Muhammad Said, Sheikh Ahmad Muhammad Said, Pendeta Za'aba, Tan Sri Mohd Said dan ramai lagi.

Semoga blog ini boleh dijadikan platform waris Linggi berkongsi maklumat agar tidak lupa sejarah kehebatan Wilayah Linggi. Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Linggi boleh menghubungi saya.